Words from Pak Nil

04/04/2011 22:52

from: https://www.erfino.com/2010/05/word-or-two-words-from-paknil-aznil.html

 

Thursday, 13 May 2010

A Word or Two - Words from Paknil @ Aznil Nawawi

13 May 2010 - A Malaysian well known figure and holds a big name and reputation in Malaysia entertainment industry Mr. Aznil Nawawi made a good comments and can be categorised as reminders. The article was published in one of our local newspaper. Truly Islam is for all. Herewith quoted as to share with all readers with the title given 'dangkal Jerut Diri' ;



2010/05/09

ASSALAMUALAIKUM! Paknil sudah tangguhkan beberapa kali untuk buka mulut mengenai perkara ini kerana ia sensitif tetapi Paknil lihat artis wanita kita makin galak pula membuka mulut memberi komen, terutama apabila membabitkan soal berpakaian.

Paknil tahu isu berpakaian adalah hak peribadi tetapi apabila mereka mula membuat kenyataan akhbar mengenai isu ini, kenyataan itu menjadi perhatian ramai dan tidak mustahil ia menjadi bahan debat dan perbualan.


Paknil ingin syorkan supaya mereka tahu memberikan jawapan yang tidak memerangkap diri sendiri atau lebih senang, mereka tidak membuka mulut langsung. Paknil katakan sedemikian kerana setiap kali jawapan yang mereka berikan seolah-olah mencabar hukum Tuhan yang memerintahkan umat Hawanya menutup aurat. Full Stop. Tidak boleh dipertikaikan dan dilengahkan lagi.


Namun jika seseorang wanita (termasuk yang bukan artis) itu belum terbuka hati untuk menutup aurat, sebaik mungkin janganlah memberi jawapan yang boleh memerangkap mereka kembali.


Apabila ini berlaku, ini secara tidak langsung menyebabkan orang yang mendengarnya memperlekehkan jawapan dan diri mereka sendiri. Lebih teruk jika dia ditertawakan kerana jawapannya tersangat dangkal.


Hari ini Paknil ingin mengutip antara jawapan yang pernah Paknil baca mengenai artis wanita berkaitan kesediaan mereka untuk menutup aurat dan bertudung litup.


Pertama, akan tutup aurat selepas mengerjakan Haji: Alahai, kenapalah artis ini tidak berfikir sebelum memberikan jawapannya sebegini? Baginya, tuntutan menutup aurat itu hanya selepas menunaikan fardu haji saja ke? Paknil tak boleh bayangkan perasaan wartawan yang menemubual artis wanita ini ketika itu. Pasti membuak-buak perasaan ingin ketawa.


Artis ini bercakap seolah-olah urusan hidupnya ditentukan oleh dirinya. Dia juga bercakap seolah-olah dia yakin yang dia sempat menunaikan haji yang entah bila akan dilakukannya. Dia kena tahu yang tuntutan menutup aurat ini bukan hanya selepas kembalinya dari haji atau dari Makkah.


Mungkin tujuannya memberi jawapan itu untuk memberitahu yang dia belum bersedia bertudung litup dalam waktu terdekat. Pada fikirannya, jika dia memberi jawapan itu, maka alasannya untuk tidak bertudung kini adalah kukuh dan menyuruh peminatnya bersabar menunggu bila tiba masa dia kembali dari haji nanti.

Sekurang-kurangnya peminat tahu yang dia sudah memasang niat untuk menutup aurat.


Namun begitu, jawapannya itu masih belum menghalalkan prinsip ‘ambil mudah’ itu. Paknil syorkan supaya artis yang belum bersedia untuk berhijrah ini tidak bercakap hal-hal sedemikian. Bila tiba masanya, lakukan saja tanpa perlu dicanang.


Kedua, cari makan: Ada juga artis wanita yang bertudung, terutama pelakon, yang tergamak membuka tudung demi menghidupkan lakonan watak yang tidak bertudung. Alasan yang diberikan adalah untuk memenuhi tuntutan watak dan untuk cari makan kerana berlakon itu adalah sumber rezekinya.


Paknil bukanlah orang yang bijak dalam hal agama tetapi Paknil mampu membuat andaian sendiri. Paknil tidak salahkan orang ramai jika mereka mula mempersoalkan pendirian dan keikhlasan artis itu dalam membuat keputusan untuk berhijrah.

Kenyataan mereka seolah-olah memberitahu yang rezeki mereka tersekat jika bertudung. Mereka akan hilang punca rezeki kerana kebanyakan watak yang ditawarkan kepada mereka adalah watak yang tidak menutup aurat. Kenyataan yang seumpama ini Paknil lihat seperti memerangkap mereka kembali dengan dua kesilapan. Pertama adalah membuka tudung dan yang kedua menyalahkan tuntutan agama kerana menutup periuk nasi mereka.


Ada kes yang sebaliknya pula berlaku apabila pelakon wanita itu hanya bertudung untuk tuntutan watak dalam filem atau drama. Sungguh ayu kita lihat pelakon itu membawa watak gadis bertudung dan penuh dengan etika keislaman.


Namun di luar waktu berlakon, pelakon itu dilihat berpakaian yang sangat berlawanan. Lebih hebat lagi jika kehidupan sosialnya juga turut diketahui umum yang tidak sama sekali dengan apa yang boleh ditonton oleh peminat.


Sekali lagi artis wanita terjerat dengan jawapan klise yang sebetulnya boleh mendorong kepada pemesongan soal aqidah. Termanggu Paknil dengan jawapan mereka bila diajukan soalan sama ada sudah bersedia untuk bertudung seperti watak yang dibawanya. Jawapannya, “Saya bertudung hanya untuk watak itu dan atas tuntutan pengarah.” Kita yang membaca jawapannya itu seolah mempersoalkan akidah pelakon itu yang lebih mentaati perintah pengarah daripada perintah Tuhan. Tidakkah mereka fikirkan terlebih dahulu sebelum memberikan jawapan? Dalam artikel kali ini, Paknil bukan membicarakan pendirian mereka mengenai aurat tetapi apa yang Paknil ketengahkan ialah cara mereka menangani soalan wartawan. Jawapan mereka selalunya memerangkap diri dalam kedangkalan membicarakan soal halal haram. Paknil bimbang apabila ada di antara mereka yang tidak sedar kesilapan ini dan terus-terusan menggunakan jawapan standard ini.


Paknil juga takut jawapan artis ini turut diwariskan kepada artis-artis muda dan baru kerana mereka ini sering dilihat mengguna pakai jawapan standard yang diberikan artis yang lebih senior. Jika ini berlaku, bukan jawapan standard itu saja yang diwarisi malah kejahilannya turut berterusan.


Kini Paknil juga ingin memberikan antara contoh-contoh jawapan yang diberikan oleh segelintir artis wanita yang dilihat mendedahkan dirinya melalui pakaian yang seksi. Sebagai pembaca kepada jawapan mereka, Paknil seperti tergamam kerana jawapan mereka beri seolah ketika itu mereka berada di bawah pengaruh sesuatu.


Ada artis yang ingin dilihat sebagai artis yang menghormati kerja orang lain atau profesional atas alasan berpakaian seksi kerana menghormati rekaan pereka fesyen.


Alasan itu seolah ingin menunjukkan kepada peminatnya yang dia tidak patut dipersalahkan kerana apa yang dilakukannya adalah atas nama kerja. Namun begitu, peminat masih boleh mempersoalkan keikhlasan artis terbabit kerana dia seperti menggadaikan maruah dirinya hanya kerana prinsipnya yang salah.


Bagi Paknil, itu bukanlah jawapan kukuh dan bukan pula jawapan tepat. Bila kita sedar yang kita sudah melakukan kesilapan, seharusnya kita jangan mengulangi dengan memberi jawapan yang salah.


Paknil percaya tiada pereka fesyen yang boleh memaksa mana-mana artis itu untuk menggayakan fesyennya. Tidak pernah Paknil lihat pereka fesyen meletakkan pistol di kepala seseorang artis jika artis itu tidak mahu memakai pakaian ciptaannya. Artis itu seharusnya bersedia mengambil tanggungjawab atas kesudiannya memperaga pakaian seksi itu dan seharusnya bersedia dengan alasan yang lebih bijak.


Begitu juga dengan alasan klise yang sering Paknil dengar iaitu ‘untuk memenuhi permintaan jurugambar atau wartawan.’ Jika Paknil ingin ulas jawapan itu, maka Paknil akan mengulangi apa yang Paknil sebutkan di atas. Jawapannya mungkin nampak mudah tetapi sebenarnya jawapan itu langsung tidak masuk akal.


Mana boleh peminat terima jawapan tidak masuk akal seperti tiada pilihan baju lain, tidak sempat mencari baju lain, saya pakai apa yang saya ingin pakai, seksi itu subjektif dan pelbagai lagi.


Kadang-kadang artis kita ini mempunyai prinsip yang tegas dalam kerjaya tetapi Paknil hairan apabila mereka boleh jadi lemah bila tiba bab berpakaian. Begitu juga ada artis yang bijak menangani soalan mengenai kerjaya mereka tetapi memberikan jawapan yang cetek pada soal berpakaian.


Sekali lagi Paknil ingin ingatkan pada yang membaca, tujuan utama Paknil pada artikel ini adalah hanya untuk memberitahu golongan terbabit agar berhati-hati memberikan reaksi dan respon kepada soalan begini kerana pada hakikatnya mungkin hanya kita yang merasakan yang kita bijak ketika itu.


Wassalam.

 

The photo belongs to Mr. Aznil Haji Nawawi and derived from his blog aznilnawawi.blogspot.com .

© 2011 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode